in

Resepi Nasi Ambeng Jawa

Resepi Nasi Ambeng

Sejarah Nasi Ambeng atau Nasi Berkat asalnya adalah masakan Jawa. Biasanya ada lebih dari 10 jenis lauk pauk untuk Nasi Ambeng ni. Hari ni saya nak kongsikan resepi asli Nasi Ambeng orang tua-tua dari Jawa Timur yang biasa dimasak semasa kenduri kendara. Lauk Nasi Ambeng asalnya dimakan bersama nasi gurih atau nasi lemak simple yang dikukus (beras, santan, garam, gula dan daun salam). Tapi disebabkan nak jimatkan masa, saya hanya gunakan nasi putih kukus je, sebenarnya malas.

Kali ni saya cuma akan kongsi 5 jenis lauk yang wajib ada untuk kenduri kendara di Jawa. Banyak ni pun dah se eh nak menelannya. Sebelum tu korang kena bersedia dulu seharian duduk di dapur sebab resepi ni takde kena mengena antara satu sama lain. Dengan kata lain korang kena sedia dengan bahan-bahan yang berlainan.

Ok, kalau ada yang bertanya kenapa saya tak pakai rempah ratus sekawan? Sebabnya untuk pengetahuan umum resepi jawa asli sangat kurang menggunakan rempah ratus dalam masakan. Mereka hanya guna bahan-bahan asli dari pulau jawa yang sesetengahnya sukar didapati di tempat lain. Jangan bimbang resepi ni hanya menggunakan bahan yang mudah didapati. Resepi ada di bawah;

Ayam Panggang –

Yang ni paling favourite, kalau kenduri kat jawa yang ni orang cari dulu. Saya ubah sikit guna bahan yang ada kat rumah, Inshaa Allah rasanya takde beza.

Seekor ayam dibersihkan. Boleh masak seekor terus atau dipotong-potong. Ikut masing-masing. Saya potong kecik cepat sikit nak masak.

Bahan-Bahan:

*6 biji cili kering direndam dalam air
*4 ulas bawang merah
*5 ulas bawang putih
*5 biji buah keras
*1inc halia
*1 batang serai
1 sb Serbuk ketumbar
1 sb serbuk kunyit
5 helai daun limau purut
Garam dan gula
1cawan air
1 cawan susu cair

Cara Membuat:

1. Blend halus semua bahan yg bertanda *. Tumis bahan-bahan blend, serbuk ketumbar dan limau purut sehingga naik bau. Masukkan serbuk kunyit dan ayam. Gaul rata. Masukkan air dan susu cair. Masak hingga kuah pekat. Ketepikan kuah dan ambil ayamnya sahaja.

2. Panggang ayam menggunakan arang hingga masak. Atau kalau korang malas sumbat je dalam oven, atau guna pemanggang ajaib, tak pun cucuh atas dapur gas tu. Bila dah masak, tuang kuah ayam tadi ke atas ayam semasa dihidangkan.

Sambal Goreng Special

Bahan-Bahan:

3 biji ubi kentang dipotong dadu
3 biji tauhu dipotong dadu
Sebungkus tempe dipotong dadu
3 papan petai ambil isinya

Goreng dahulu kentang, tauhu, tempe dan petai separuh garing. Agak-agak ye, kalau terlalu garing karang keras pulak. Goreng satu-satu tau, jangan korang bedal masuk semua skali dalam kuali pulak. Ketepikan.

Bahan Sambal:

*1 biji cili besar
*10 biji cili padi
*3 biji bawang merah
*3 biji bawang putih
Inc lengkuas diketuk
1 sb Udang kering halus
Kicap pekat manis.
1/4 cawan santan pekat
Garam secukupnya

Cara Memasak:

1. Goreng semua bahan sambal kecuali udang kering ke dalam minyak. Cara menggoreng sila rujuk resepi sambal dalam Resepi Ayam Penyet.

2. Setelah digoreng, blend bahan yang bertanda *. Kali ni blend guna sedikit air ye. Masukkan semua bahan blend ke dalam kuali. Hidupkan api. Masukkan lengkuas, udang kering dan petai.

3. Campurkan kicap agak-agak warna bertukar coklat. Masukkan garam dan juga santan. Renih sebentar dalam 1 minit atau mendidih. Setelah itu masukkan kentang, tauhu dan tempe goreng tadi. Gaul rata hingga kuah kering. Siap.

Serunding Kelapa Daging

Resepi serunding ni memang agak berbeza kerana sedikit manis. Memang mabeles, favorite anak-anak. Mereka panggil daging manis.

Bahan-Bahan:

1 kg daging batang pinang direbus hingga empuk
Sebiji kelapa parut diambil putih sahaja
Sekeping gula nisan saiz kecil
1 inc lengkuas
*4 ulas bawang merah
*4 ulas bawang putih *blend
1 sk asam jawa saya guna brand adabi tanpa biji
3 helai daun limau purut
Garam dan perasa secukupnya

Cara Memasak:

1. Mula-mula goreng kelapa parut tanpa minyak sehingga bertukar keperangan. Hati-hati, terus kacau supaya warna sekata dan tidak hangus. Jangan tertido pulak ye. Ketepikan.

2. Hiris daging menjadi menjadi kepingan sederhana besar. Ketuk setiap kepingan daging agak-agak dalam 2 atau 3 kali ketuk.

3. Dalam kuali lain, masukkan bawang blend, lengkuas, asam jawa, daun limau purut, gula nisan, garam dan perasa bersama dengan 1/2 cawan air. Buka api biarkan hingga mendidih.

4. Masukkan daging. Tunggu sehingga gula hancur dan kuah agak kering sedikit. Masukkan kelapa goreng dan gaul rata. Tutup api. Siap.

Nota: Kelapa boleh digoreng awal dan simpan dalam peti. Tujuan kelapa digoreng supaya serunding tahan lama dan lebih beraroma.

Mee Goreng

Ni bukan mee goreng yang macam kita selalu buat tu ye. Bahannya sangat simple dan mudah. Boleh juga dimakan begitu sahaja.

Bahan-Bahan:

Bihun atau mee kuning saya guna mee non fried Cintan. (Celur)
Lobak merah dihiris halus
5 tangkai daun kucai hiris
Bawang goreng lebih sedap buat sendiri.
3 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1 sk Serbuk lada putih
1/2 sk serbuk kunyit (option)
Perasa dan garam secukupnya
Minyak untuk menumis

Cara Membuatnya:

1. Tumbuk bawang hingga lumat. Tumis bawang hingga naik bau. Masukkan serbuk lada, perasa, garam dan serbuk kunyit nak bagi kaler cantik. Tak letak pun tak pe.

2. Masukkan mee atau bihun dan juga lobak. Gaul mesra. Tutup api. Tabur dengan daun kucai dan bawang goreng. Siap.

Urap aka Kerabu Sayur

Apa-apa sayuran atau ulam yang sesuai dicelur ikut yang korang suka. Disebabkan last minute baru terfikir nak buat, sudahnya terlewat pergi pasar. Akhirnya cuma dapat kacang panjang, kacang botol dan tauge je. Sebab nak nampak ada daun sikit, terpaksalah bedal pucuk betik belakang rumah. Tak sangka rupanya hubby suka sangat ada rasa pahit sikit berkhasiat pulak tu.

Ok stop membebel. Potong sayuran tadi ikut suka korang ye. Tak potong pun takpe. Boleh ngap terus. Celur sekejap dan ketepikan.

Bahan-Bahan untuk Kerabu

1/2 cawan kelapa parut diambil putihnya
Seulas bawang putih
5 biji cili padi ikut tahap kepedasan masing-masing. Saya suka pedas.
Sehelai daun limau purut muda.
Cekur kira-kira saiz cubit. Susah nak explain, sikit jelah maksudnya.
1/2 sk garam
1sk gula.

Cara Membuatnya:

1. Tumbuk bawang, cili, daun limau purut dan cekur hingga lumat. Masukkan bahan tumbuk ke dalam kuali tanpa minyak. Masukkan kelapa parut, gula dan garam. Gaul rata dengan api perlahan selama 1 minit. Tutup api. Campurkan bersama sayuran tadi. Gaul rata. Siap.

Fuh! Nak menaip resepinya pun dah berpeluh-peluh. Tu belum mula masak lagi. Apa pun korang bolehlah susun lauk pauk macam pic di atas. Nak lebih meriah boleh je tambah dengan hirisan timun, telur rebus, ikan masin atau apa-apa yang korang rasa boleh telan kihkihkih. Lebih manis kalau susun dalam talam dan makan bersama-sama keluarga. Lebih Afdal sebelum makan disertakan dulu dengan bacaan doa lebih-lebih lagi time kenduri. InshaAllah akan rasa terlajak sedap nasi tu nanti. Inilah yang dipanggil Nasi Berkat. Org yang pernh rasa je tau bezanya. Semoga bermanfaat dan selamat mencuba.

Penafian: Resepi dan gambar adalah hak milik Puan Zenny Mansyur yang dikongsikan dalam Facebook beliau. Anda boleh lawati dan Follow laman Facebook Zenny Mansyur.